Titah of His Majesty the Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam





  • TITAH
    KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH 
    IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

    MAJLIS ISTIADAT MENGADAP SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENAIKI TAKHTA


    PADA HARI KHAMIS

    14 MUHARRAM 1439 / 5 OKTOBER 2017

    BERTEMPAT
    DI ISTANA NURUL IMAN


    Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
    Bismillaahir Rahmaanir Raheem

    Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

    Beta mengucapkan syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama meraikan Sambutan Jubli Emas Beta menaiki takhta, dalam suasana aman, tenteram dan harmoni.

    Hari ini adalah hari paling bersejarah bagi Beta sendiri, dan juga bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini. Sejarah Beta adalah juga sejarah bangsa dan negara. Kerana siapa Beta selaku raja, tidak boleh putus hubungan dengan bangsa dan negara. Tegasnya, Beta, tetap berkongsi sejarah dengan mereka.

    Kerana itulah, perayaan ini menjadi milik bersama diantara Beta selaku raja dan rakyat jelata. Kalau Beta dilihat gembira, maka rakyat juga adalah berhak untuk bergembira. Jika Beta bersyukur, maka rakyat juga patut bersyukur.

    Demikian itu hubungan raja dengan rakyat. Tidak ada tembok pemisah diantara mereka. Kewajipan raja berlaku adil kepada rakyat, sementara kewajipan rakyat pula menta’ati raja. Raja berkewajipan untuk mengetahui susah senang rakyat, sementara rakyat pula dituntut untuk bersimpati kepada raja. Inilah namanya kewajipan timbal balik untuk kesejahteraan semua. Raja dan rakyat sama-sama memegang amanah besar ini.

    Inilah rukun kehidupan kita di negara ini. Ia telahpun wujud dengan jayanya semenjak dari enam ratus tahun lagi. Marilah kita pelihara ia, dan teruslah memupuknya sehingga zaman berzaman.

    Menzahirkan rasa sukacita yang mendalam, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Beta kepada semua peringkat jawatankuasa yang bertanggungjawab dan bertungkus lumus merancang dan menjayakan sambutan ini.

    Penghargaan yang sama juga tidak diabaikan terhadap Kerabat Diraja, Orang-Orang Bergelar, pemimpin-pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat, sama ada yang berada di dalam atau di luar negara, diatas sokongan berterusan dan ta’at setia mereka kepada Beta dan Kerajaan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala yang akan memberkati dan melimpahkan rahmat dan hidayat-Nya kepada kita semua. Amin Ya Rabbal ‘Alamin

    Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.