03/10/2017 - Pemasangan Alat-alat Perhiasan Diraja 'Pemajangan'




Pemasangan Alat-alat Perhiasan Diraja 'Pemajangan' di Istana Nurul Iman sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dilaksanakan sejurus selesai Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga di Bangunan Lapau dan tembakan meriam 21 das dilepaskan.

Pemasangan perhiasan yang digunakan untuk istiadat itu mula dipasang di Pemajangan dan di tempat yang ditentukan dan segala peralatan Gendang Jaga-Jaga telah diangkat di satu tempat khas yang dipanggil 'Pemajangan' diletakkan di hadapan Istana Nurul Iman.

Alat-alat Perhiasan Diraja yang dipasang termasuk Tunggul Charok, Sandaran, Ula-Ula Besar dan Sumbu Layang, Payong Haram, Payong Ubur-Ubur Tiga Ringkat, Chogan Diraja, Chogan Ugama, Lambang Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Panji-Panji, Mahligai, Payong Tinggi, Alam Bernaga, Pisang-Pisang, Tunggul Buritan, Payong Obor-Obor, Ambal, Tunggul Kawan, Dadap, Rawai Lidah dan Sapu-Sapu Ayeng.

Peralatan indah dan berwarna-warni tersebut adalah di antara khazanah tertua dan berharga di Nusantara atau alam Melayu, sementara alat-alat perhiasan diraja adalah lambang kemegahan Negara Brunei Darussalam dan rakyatnya yang diwarisi sejak zaman Sultan Brunei Pertama, Sultan Mohammad Shah dan Sultan Brunei ketiga, Sultan Sharif Ali.

Alat-alat Perhiasan Diraja biasanya dipasang dalam Istiadat Perarakan Diraja, Perpuspaan dan Istiadat Perkahwinan Diraja.

Pemajangan adalah salah satu Perhiasan Diraja diperbuat daripada kain putih yang dijadikan atap kepada tempat yang dikhaskan untuk Alat-alat Perhiasan Diraja atau sesuatu istiadat dan di kelilingnya, dihiasi dengan Rawai Lidah.

Pemajangan ini diletakkan di hadapan Istana Nurul Iman sepanjang Istiadat Berjaga-Jaga selama enam hari bagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments