02/10/2017 - Raptai penuh Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas




Persediaan ke arah meraikan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta sedang giat dilaksanakan sebelum menjelangnya 5 Oktober ini.

Dalam memanjatkan syukur dan memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini dialu-alukan untuk sama-sama menghadirkan diri ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di keempat-empat daerah pada petang Rabu ini, 4 Oktober 2017.

Sambutan perayaan tersebut merupakan acara signifikan kenegaraan yang murni dengan semangat patriotisme yang tinggi di mana seluruh rakyat dan penduduk negara ini mendoakan bagi kesejahteraan dan keselamatan raja dan negara.

Tumpuan Majlis Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Al-Waqia'ah, Surah Al-Mulk, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta akan berlangsung di Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong yang dikelolakan oleh Jawatankuasa Sektoral Rancangan-Rancangan Keugamaan dan Majlis Kesyukuran sempena sambutan berkenaan.

Sehubungan itu, raptai penuh majlis berkenaan diadakan petang tadi di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Berangkat dan hadir menyaksikan latihan tersebut ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

Juga hadir, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Rancangan-Rancangan Keugamaan dan Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments