02/10/2017 - Tingkatan pengetahuan MIB melalui forum




Forum Khas Melayu Islam Beraja (MIB) berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, sebagai salah satu pengisian Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, di sini.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman hadir selaku tetamu kehormat pada forum tersebut.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan.

Forum dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakbar. Manakala ahli-ahli panel terdiri daripada Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar yang menyentuh mengenai usaha kerajaan menyediakan Pendidikan (umum dan ugama) bertaraf antarabangsa dan berciri MIB serta pemantauan berterusan ke arah kesejahteraan rakyat; Mantan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman yang membincangkan tentang Sejarah Melayu Islam Beraja (MIB) sejak pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan amalan doa serta kesannya dalam keharmonian beragama, bermasyarakat dan bernegara juga Ahli Masjlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad yang menyentuh mengenai peluang-peluang yang disediakan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh rakyat Kebawah DYMM.

Forum diharap akan menjadi satu wadah mengukuhkan taat setia pada kepimpinan pemerintahan beraja dan azam untuk mengekalkan keamanan, kesejahteraan serta kebahagiaan dalam negara MIB yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah serta dengan berasaskan keadilan, amanah juga kebebasan. Ia dipercayai dapat menyuburkan rasa cinta pada negara dan kasih kepada raja.

Matlamat forum adalah untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap konsep MIB di negara ini.

Forum dilaratkan di keempat-empat daerah, yang mana di Daerah Tutong, forum akan diadakan pada Rabu, 4 Oktober, bertempat di Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Forum dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Pemberigaan MIB di bawah Jawatankuasa Sektoral Media, Publisiti dan Percetakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments