30/09/2017 - Pembukaan secara percubaan Jambatan Sungai Kebun bermula 2 hingga 12 Oktober 2017




Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan memaklumkan kepada orang ramai terutama kepada para penduduk di Mukim Lumapas, Mukim Sungai Kebun dan sekitarnya bahawa jambatan penghubung menyeberangi Sungai Brunei dari Kampung Sungai Kebun ke Jalan Residency akan dibuka secara percubaan bermula pada Isnin, 2 Oktober 2017, jam 9.00 malam hingga 12 Oktober 2017. 

Pembukaan jambatan tersebut secara percubaan bertujuan untuk membolehkan kerja–kerja pengubahsuaian sistem rangkaian jalan raya di sekitar Bandar Seri Begawan yang akan melibatkan beberapa persimpangan lampu isyarat di kawasan tersebut bagi memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas itu nanti, yang mana jumlah lalu lintas dijangka akan meningkat khususnya yang datang dari Mukim Lumapas, Mukim Sungai Kebun dan sekitarnya. 

Pengubahsuaian dan pemantauan pihak-pihak berkenaan ke atas keadaan lalu lintas selepas pembukaan secara percubaan jambatan itu nanti akan mengambil masa beberapa hari sehingga keadaan pergerakan lalu lintas stabil. 

Sementara itu, beberapa kawasan letak kereta juga telah disediakan di tapak lapang di bawah jambatan baharu berkenaan dan juga di tepi jalan di sebahagian Jalan Tarap Bau yang telah siap dilebarkan bagi kemudahan dan keselesaan para penduduk di Kampong Ayer khususnya bagi Kampung Sungai Siamas, Kampung Setia, Kampung Ujung Kelinik dan sekitarnya. 

Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk mematuhi tanda-tanda lalu lintas yang disediakan dan mematuhi arahan pihak polis kawalan lalu lintas bagi kelancaran pergerakan lalu lintas. 

Manage PermissionsManage Permissions
Attachments