Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan mengendalikan Riadah Berbasikal
Kayuhan Jubli Emas bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar
'Ali Saifuddien, di ibu negara pada hari Ahad, 8 Oktober 2017.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam dijangka berangkat bercemar duli menyertai Riadah Berbasikal
Kayuhan Jubli Emas tersebut.
Riadah Berbasikal Kayuhan Jubli Emas
dianjurkan mengambil sukut baik Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka
Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang
bermatlamat antara lain, membentuk budaya sukan dan memantapkan
perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang
menjurus ke arah kehidupan bergerak aktif dan sihat.
KKBS dalam
penganjuran program ini bersama-sama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam
Negeri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Ugama,
Kementerian Perhubungan dan Kementerian Kesihatan serta penglibatan
semua kementerian-kementerian yang lain dan juga Persekutuan Basikal
Brunei Darussalam memperlihatkan sukan diberi pengiktirafan,
penghormatan dan penggalakkan yang sama penting dengan sektor sosial
yang lain, bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan dan
kestabilan yang berterusan.
Ke arah itu KKBS mengajak segenap
lapisan rakyat dan penduduk negara ini dengan menghadirkan diri dan
menyertai Riadah Berbasikal Kayuhan Jubli Emas beramai-ramai dan dinasihatkan untuk datang lebih awal daripada waktu pelepasan kayuhan jam 7.00 pagi.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Bandarku Ceria