29/09/2017 - Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM penuh gilang gemilang




Ke arah membarigakan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, Jabatan Perdana Menteri mengadakan Sidang Media mengenai sambutan tersebut di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri, di sini.

Hadir pada Sidang Media berkenaan ialah Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Sidang Media didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta.

Acara Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta menurut Yang Berhormat Menteri akan dimulakan pada Selasa, 12 Muharam  1439 bersamaan 3 Oktober dengan Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga, bertempat di Bangunan Lapau, Bandar Seri Begawan.

Majlis Persantapan pula akan diadakan pada Jumaat, 15 Muharam 1439 bersamaan 6 Oktober 2017 dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada Ahad, 17 Muharam 1439 bersamaan 8 Oktober 2017, di mana majlis berkenaan akan diadakan di Istana Nurul Iman.

Ia kemudian diteruskan dengan perkongsian maklumat berhubung dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak dan Doa Kesyukuran pada Rabu, 13 Muharam 1439 bersamaan 4 Oktober 2017 di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong yang disampaikan oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud selaku Timbalan Pengerusi Bersama Rancangan-Rancangan Keugamaan dan Majlis Kesyukuran.

Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta akan diadakan pada Rabu, 20 Muharam 1439 bersamaan 11 Oktober 2017 yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

Setelah itu diikuti dengan perkongsian maklumat berhubung dengan Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan, Majlis Istiadat Mengadap dan Istiadat Perarakan Mengelilingi Bandar Seri Begawan pada Khamis, 14 Muharam 1439 bersamaan 4 Oktober 2017 berlangsung di Istana Nurul Iman juga Bandar Seri Begawan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Perarakan Jubli Emas Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Sidang Media diteruskan dengan perkongsian maklumat mengenai dengan Majlis Perasmian Jambatan Sungai Kebun, Perarakan Kapal-kapal dan Perahu-perahu Berhias dan Pertunjukan Bunga Api pada Sabtu, 23 Muharam 1439 bersamaan 14 Oktober 2017 yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perasmian dan Peringatan Kenang-Kenangan.

Seterusnya, perkongsian maklumat mengenai Acara-acara Keraian Daerah dan Mukim yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Keraian dan Acara-acara Daerah / Mukim bersama Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perarakan Jubli Emas.

Pembarigaan mengenai Perasmian Eko Koridor dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran yang akan diadakan pada Ahad, 2 Safar 1439 bersamaan 22 Oktober 2017 bertempat di Bandar Seri Begawan juga dikongsikan pada sidang media berkenaan.

Sesi sidang media diakhiri dengan sesi soal-jawab.

Perkongsian maklumat mengenai acara-acara yang akan dilangsungkan tersebut, diharapkan segenap lapisan rakyat dan penduduk akan dapat menzahirkan junjung kasih dan rasa kesyukuran ke hadapan majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan menghadirkan diri beramai-ramai, khususnya pada acara kemuncak sambutan, iaitu Istiadat Perarakan Mengelilingi Bandar Seri Begawan, di samping majlis-majlis utama lainnya.

Turut berangkat dan hadir sama ialah Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud, selaku Setiausaha Bersama dan Ketua Urusetia Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd. Tawih bin Abdullah, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Manage PermissionsManage Permissions
Attachments