28/09/2017 - Kempen Kesedaran Kebersihan Senegara, 1 Oktober




Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan, yang penubuhannya telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, akan mengadakan Kempen Kesedaran Kebersihan Senegara pada Ahad, 1 Oktober 2017 di keempat-empat daerah.

Menurut Siaran Akhbar Kementerian Pembangunan, kempen yang bertemakan 'Brunei Bersih dan Hijau' itu bertujuan untuk mewujudkan suasana persekitaran yang bersih menjelang Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada 5 Oktober ini.

Di samping itu, kempen tersebut bermatlamat untuk memberi kesedaran kepada seluruh warga dan penduduk negara ini dalam menjaga kebersihan serta keindahan persekitaran negara, di samping mencapai hasrat Wawasan Brunei 2035 ke arah Kehidupan Rakyat Yang Berkualiti Tinggi.

Orang ramai juga disarankan agar dapat bersama-sama memelihara dan menjaga segala prasarana-prasarana serta kemudahan-kemudahan awam yang disediakan dan menghindarkan dari perbuatan memugut ke atasnya.

Sehubungan ini, Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan dengan kerjasama Jawatankuasa-jawatankuasa Sektoral Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta mengalu-alukan penyertaan semua rakyat dan penduduk di negara ini termasuk agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan, persatuan-persatuan belia, badan-badan bukan kerajaan (NGO), Majlis-majlis Perundingan Kampung dan Mukim serta pihak swasta untuk sama-sama menjalankan kempen itu agar kawasan-kawasan dalam serta luar bandar di seluruh negara akan sentiasa berada dalam keadaan bersih juga teratur.

Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Penasihat-penasihat yang terdiri daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan serta Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan selaku Pengerusi.


Sumber berita Pelita Brunei
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments