29/09/2017 - Sidang Media Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta




Sidang Media bagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta telah berlangsung petang ini di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri.

Hadir pada Sidang Media ini ialah Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua).

Sidang Media didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.

Ianya kemudian diteruskan dengan perkongsian maklumat berhubung dengan Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya dan Doa Kesyukuran di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Timbalan Pengerusi Bersama Rancangan-Rancangan Keugamaan dan Majlis Kesyukuran.

Ini diikuti dengan perkongsian maklumat berhubung dengan Majlis Istiadat Perarakan Jubli Emas yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman, Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Perarakan Jubli Emas Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Sidang Media diteruskan dengan perkongsian maklumat mengenai dengan Majlis Perasmian Jambatan Sungai Kebun, Perarakan Kapal-Kapal dan Perahu Berhias dan Pertunjukan Bunga Api yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah, Menteri Pembangunan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perasmian dan Peringatan Kenang-Kenangan.

Seterusnya, perkongsian maklumat mengenai Acara-Acara Keraian Daerah dan Mukim yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Keraian dan Acara-Acara Daerah / Mukim; bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perarakan Jubli Emas.

Sesi Sidang media diakhiri dengan sesi soal-jawab.

Dengan perkongsian maklumat mengenai acara-acara yang akan dilangsungkan tersebut, diharapkan segenap lapisan rakyat dan penduduk akan dapat menzahirkan junjung kasih dan rasa kesyukuran kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan menghadirkan diri beramai-ramai, khususnya pada acara kemuncak sambutan, iaitu Istiadat Perarakan Jubli Emas di samping majlis-majlis utama lainnya.

Turut berangkat dan hadir sama ialah:

• Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar, Grand Chamberlain, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas;

• Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi Bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas;

• Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Setiausaha Bersama dan Ketua Urusetia Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas;

• Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas; dan

• Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd. Tawih bin Abdullah, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas.


JABATAN PERDANA MENTERI
Bangunan Jabatan Perdana Menteri
Bandar Seri Begawan, BA1000
Negara Brunei Darussalam

08 Muharram 1439
29 September 2017
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments