27/09/2017 - MIB Teras Keteguhan Negara




'MIB Teras Keteguhan Negara' merupakan tema bagi Peraduan Syarahan Melayu Islam Beraja (MIB) Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 50 Tahun Menaiki Takhta.

Peraduan yang berlangsung di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok di sini antaranya bertujuan sebagai satu wadah untuk menyampaikan maklumat mengenai MIB kepada orang ramai, sebagaimana pengisytiharan MIB sebagai Konsep Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984.

Peraduan peringkat negara tersebut diadakan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang.

Pada sebelah pagi berlangsung peraduan Kategori 'A', iaitu bagi Institusi Pengajian Tinggi (17 hingga 25 tahun) dan Kategori 'B' bagi IBTE / Sekolah Menengah (12 hingga 20 tahun).

Hadir selaku tetamu kehormat pada peraduan sesi pagi ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.

Bagi sesi petang pula berlangsung peraduan Kategori 'C' bagi Orang Awam (berumur 25 tahun ke atas).

Hadir selaku tetamu kehormat bagi sesi petang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Maon.

Dalam pada itu, keputusan peraduan akan diumumkan pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Syarahan MIB Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 50 Tahun Menaiki Takhta, yang akan diadakan pada Khamis, 28 September 2017.



Manage PermissionsManage Permissions
Attachments