24/09/2017 - Raptai penuh Sambutan Jubli Emas




Kurang dua minggu sahaja lagi Negara Brunei Darussalam akan melakarkan satu lagi sejarah dengan berlangsungnya Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada 5 Oktober ini nanti.

Istiadat yang penuh gemilang itu sememangnya sudah menjadi bualan rakyat dan penduduk di negara ini yang seakan tidak sabar menanti detik berharga itu apa lagi hendak menghadirkan diri menyaksikan secara langsung.

Ke arah memastikan upacara sambutan itu berjalan dengan lancar dan sempurna, raptai penuh telah diadakan di Istana Nurul Iman dan di ibu negara.

Berangkat menghadiri raptai penuh tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, selaku Ahli Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas berserta kerabat diraja yang lain.

Raptai penuh tersebut turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri dan Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kerajaan.

Antara atur cara yang bakal berlangsung di Istana Nurul Iman nanti ialah Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan dan Majlis Istiadat Mengadap yang disusuli dengan Istiadat Perarakan Mengelilingi Bandar Seri Begawan.

Perarakan Mengelilingi Bandar Seri Begawan akan bergerak di sepanjang Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), sepanjang Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, melintasi Jalan Mc Arthur dan Jalan Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien serta sepanjang Jalan Stoney.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments