17/09/2017 - Pertandingan Sayembara Menambang Syair sempena Sambutan Jubli Emas




Syair Pelayaran Emas Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah (Sultan Brunei Ke-29) ciptaan Awang Haji Mohd. Ubaidah bin Haji Awang Damit dan syair Menjunjung Kasih Laila Duli Tuan Patik oleh Dayang Raihana Asyiqin binti Haji Suhaili muncul juara pada Pertandingan Sayembara Menambang Syair sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Naib johan bagi Kategori Lelaki dan Perempuan pula masing-masing disandang oleh Awang Abdul Wafiy bin Haji Ibrahim dengan syair Kewibawaan dan Kecemerlangan Pemerintahan Kebawah DYMM dan Dayang Nurul Asiqin binti Awang Yakup dengan syairnya Daulat 50 Tahun.

Manakala tempat ketiga bagi Kategori Lelaki diraih oleh Awang Fahrurrazi bin Haji Awang Metali dengan syairnya Citra Emas Hassanal Bolkiah, sementara Kategori Perempuan pula disandang oleh Dayang Halimatus Rabeatul Saiedah binti Huzaimi dengan syairnya Julangan Laila Kasih.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman juga selaku Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas.

Majlis yang berlangsung di Dewan Raya RTB itu juga diselajurkan dengan Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Syair anjuran bersama Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagi Peraduan Menulis Syair, Awang Hidop bin Haji Mohamad Zin dipilih sebagai penerima Hadiah Penghormatan Kedua dengan syairnya Citra Emas Hassanal Bolkiah, sementara Hadiah Penghormatan Ketiga diberikan kepada Awang Haji Mohd. Firdaus @ Passal bin OKK Haji Noordin dengan syairnya Jambatan Jubli Emas, sementara tiada pemenang bagi Hadiah Penghormatan Pertama.

Melalui Pertandingan Menambang Syair dan Peraduan Menulis Syair ini antara lain bertujuan untuk menyemai minat dan menggalakkan generasi muda memanfaatkan karya Al-Marhum sebagai pengungkap isi hati dalam hasrat berbangsa, berbudaya, beragama, berbahasa dan bernegara.

Di samping itu, ia juga bagi menyeru generasi muda dalam menghargai, memelihara dan mempertahankan keluhuran jati diri, kesenian serta kebudayaan masyarakat Melayu Brunei yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja.

Juga hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah RTB dan Pemangku Pengarah DBP.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Manage PermissionsManage Permissions
Attachments