16/09/2017 - Lagu 'Raja Bertakhta' juarai Simfoni Jubli Emas




 Lagu 'Raja Bertakhta' ciptaan Pengiran Haji Sallehuddin bin Pengiran Haji Mohd. Noor muncul juara pada Simfoni Jubli Emas Peraduan Mencipta dan Menerbitkan Lagu-Lagu Khas sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB), di sini.

Manakala lagu ciptaan Pengiran Haji Md. Shahremi bin Pengiran Haji Md. Salleh bertajuk 'Demi Raja Taat Setia' menduduki tempat kedua, diikuti dengan lagu bertajuk 'Raja Berdaulat' ciptaan Pengiran Haji Mohd. Khairul Alimin bin Pengiran Haji Yahya di tempat ketiga.

Sementara 'Menara Harapan' ciptaan bersama oleh Dr. Khadizah bin Haji Abdul Mumin, Awang Abdul Hafiz bin Abdul Salim dan Awang Norarifin bin Haji Abdul Hamid terpilih sebagai lirik lagu terbaik.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Peraduan yang dianjurkan oleh RTB itu memaparkan karya seni ciptaan lagu yang menggabungkan penyertaan dalam kalangan para penerbit, pencipta, penulis, pemuzik dan penyanyi tempatan.

Lagu-lagu yang dipertandingkan ini nanti akan dimuatkan dalam satu kompilasi album lagu-lagu sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta sebagai tanda kasih sanjungan insan seni ke hadapan majlis baginda bersempena detik gemilang tersebut.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Keselamatan dan Media) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar; Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di JPM, Awang Mohd. Riza bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yusof; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai-Pegawai Daerah, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Manage PermissionsManage Permissions
Attachments