19/08/2017 - Latihan Keselamatan Kebangsaan di LTAB




Jawatankuasa Keselamatan Negara melalui Jawatankuasa Keselamatan (Security) Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dengan kerjasama Kementerian Perhubungan khususnya Jabatan Penerbangan Awam telah mengadakan latihan keselamatan kebangsaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) pada pagi ini.

Menurut Siaran Akhbar Jabatan Perdana Menteri itu, objektif latihan adalah bagi meningkatkan keupayaan dan inter-operability di antara agensi-agensi keselamatan dan kecemasan serta agensi swasta dalam menangani sebarang ancaman keselamatan, mempertingkatkan tahap kewaspadaan dan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan di kalangan pegawai dan kakitangan di LTAB.

Latihan juga menguji tahap keberkesanan, pelan tindakan dan kecekapan dalam menangani serta mengawal situasi kecemasan seperti yang sedia ada dalam Pelan Kecemasan Lapangan Terbang (Airport Emergency Plan) Jabatan Penerbangan Awam.

Latihan melibatkan senario 'unattended baggage' yang dipercayai mengandungi bahan letupan yang diletakkan di kawasan LTAB termasuk evakuasi Bangunan Terminal Penumpang.

Latihan melibatkan lebih 300 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta terdiri daripada Kementerian Perhubungan, Jabatan Penerbangan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Kesihatan, Syarikat Royal Brunei dan pihak yang berkepentingan di LTAB.

Latihan tidak menjejaskan operasi penerbangan dan perkhidmatan-perkhidmatan di LTAB.

Latihan disaksikan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat; Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd. Tawih bin Abdullah; pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi yang terlibat.


Sumber berita Pelita Brunei
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments