17/08/2017 - Sama-sama memeriahkan sambutan Jubli Emas




Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman semasa di temu bual Pelita Brunei, menyeru para belia di negara ini untuk sama-sama menghadiri dan memeriahkan lagi acara-acara sempena Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang akan diadakan nanti.

Menurutnya, kita selaku rakyat Kebawah DYMM yang taat setia dan tidak berbelah bahagi sentiasa berusaha untuk sama-sama menghadiri acara-acara Jubli Emas yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti dengan penuh bersemangat dan bergembira tidak kira daripada golongan emas hingga golongan kanak-kanak.

Manakala bagi Penghulu Mukim Mentiri, Pengarah Haji Abd Rahman bin Haji Naim menyeru agar anak-anak kampung sama-sama menghadiri dan memeriahkan suasana Jubli Emas nanti kerana ianya jarang diadakan di mana-mana negara dan begitu beruntung sebagai rakyat Kebawah DYMM.

Menurutnya, negara amat beruntung dapat menyambut Jubli Emas Ke-50 Tahun pemerintahan baginda dan menyeru agar rakyat sama-sama memeriahkan lagi suasana Jubli Emas nanti.

Bagi Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Rimba, Awang Abdul Wahab bin Timbang menjelaskan bahawa negara dan rakyat amat bertuah untuk sama-sama meraikan acara Jubli Emas Ke-50 Tahun pemerintahan Kebawah DYMM.

Menurutnya, selaku Ketua Kampung menyeru agar anak-anak kampung dan rakyat jelata agar sama-sama meramaikan dan memeriahkan lagi suasana Jubli Emas nanti.

Sementara itu, Ketua Kampung Putat, Awang Haji Jumat bin Akim berkata acara sambutan Jubli Emas Ke-50 Tahun amat dinanti-nantikan oleh rakyat di negara ini.

Menurutnya, sepanjang pemerintahan Kebawah DYMM selama 50 tahun berbagai-bagai perkembangan negara telah dikecapi dan juga hubungan negara dengan luar negara begitu baik sekali.

Semenjak pemerintahan baginda katanya, banyak infrastruktur dibangunkan untuk memberikan kemudahan kepada rakyat jelata.




Manage PermissionsManage Permissions
Attachments