17/08/2017 - Gerakkan anak buah, aktif dalam rancangan diungkayahkan




Selaku rakyat dan penduduk negara ini, apakah yang dapat kita sembahkan sebagai pesambah atau hadiah kepada seorang Raja yang sangat prihatin kepada kesejahteraan hidup rakyat dan penduduknya dan mengurniakan berbagai kemudahan yang dapat menjamin taraf hidup yang baik untuk semua.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyatakan perkara tersebut semasa berucap pada Sesi Muzakarah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung Daerah Brunei dan Muara (DBM) bagi Zon 2, Zon 4 dan Zon 5 yang berlangsung di Jabatan DBM, Berakas, di sini.

Jelas Yang Berhormat, tidak ada selain doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga baginda dilanjutkan usia, sihat walafiat dengan terus dikurniakan taufik dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala, kekal karar memerintah negara ini turun temurun.

Selain dari melahirkan taat setia rakyat dan penduduk negara ini yang tidak berbelah bahagi, dengan menyertai secara tulus ikhlas acara-acara yang diaturkan sempena Sambutan Jubli Emas Baginda.

"Dalam sedikit masa lagi, InsyaaAllah kita akan menyambut satu lagi sambutan kenegaraan iaitu Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta. Oleh yang demikian, saya sukacita memohon kepada Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung supaya akan dapat menggerakkan anak buah kampung dan mukim untuk mengambil peranan melibatkan diri dengan aktif dalam rancangan-rancangan yang akan diungkayahkan", jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat mengimbas kembali sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta di Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi pada hari Khamis, 28 Rabiulawal 1438 bersamaan 26 Januari 2017.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda : "Saya percaya dengan kesepakatan dan komitmen tinggi semua pihak, acara-acara Sambutan Jubli Emas ini akan menjadi wadah pada memantapkan lagi keharmonian bernegara melalui jalinan akrab di antara Raja dan rakyat jelata; bersatu padu dalam memelihara kesejahteraan dan kemakmuran Negara serta untuk sama-sama memajukan Negara".

Oleh yang demikian, menurut Yang Berhormat, selaku Penghulu dan Ketua Kampung, kita hendaklah menjunjung tinggi sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota itu yang mengandungi nasihat dan saranan yang bernas.

Yang Berhormat menambah, inilah masa yang sangat relevan dan signifikan bagi seluruh rakyat dan penduduk di Negara ini untuk menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Menurut Yang Berhormat, adalah wajar bagi kita, rakyat dan penduduk di Negara ini bersyukur, yang dalam tempuh pemerintahan Baginda selama 50 tahun telah dapat membawa Negara ini berkembang maju dalam pelbagai bidang dengan rakyat dan penduduknya berada dalam keamanan, ketenteraman, keselamatan dan dengannya membolehkan menikmati kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan.

Paling minima jelas Yang Berhormat, ialah untuk mengibarkan bendera Negara di rumah-rumah kediaman masing-masing apabila diperlukan nanti. Menghadirkan diri dan menyertai acara perbarisan raksasa mengalu-alukan perarakan baginda mengelilingi Bandar Seri Begawan pada 5 Oktober 2017.

Menghadirkan diri dan menyertai acara Junjung kasih dan Kesyukuran Rakyat dan Penduduk Daerah-Daerah.




Manage PermissionsManage Permissions
Attachments