15/08/2017 - Eksesais keselamatan persiapan awal tangani risiko




Sebagai persiapan awal bagi meningkatkan lagi keupayaan dan ‘interoperability’ antara agensi-agensi yang terlibat dalam menangani sebarang risiko keselamatan yang mungkin dihadapi, beberapa eksesais keselamatan akan diadakan pada bulan Ogos dan juga September 2017.

Menurut Siaran Akhbar Sekretariat Jawatankuasa Keselamatan Negara, eksesais dikendalikan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negara melalui Jawatankuasa Keselamatan (Security) Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Eksesais pertama akan diadakan pada 16 Ogos 2017 pada sebelah petang di Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh, Kuala Belait. Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan masing-masing bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Eksesais seterusnya akan diadakan pada 19 Ogos 2017 pada sebelah pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas.

Penerbangan komersial tidak akan terjejas namun para penumpang dinasihatkan untuk membuat perancangan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Orang ramai yang menetap atau bertugas berdekatan kawasan eksesais dinasihatkan untuk tidak berasa cemas atau bimbang dengan pergerakan anggota-anggota keselamatan beruniform, termasuk kenderaan, pesawat udara, rondaan perairan serta bunyi letupan dan ‘pyrotechnics’ yang akan digunakan sepanjang eksesais tersebut.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mematuhi sebarang arahan anggota keselamatan yang bertugas. Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi Pusat Kawalan Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 2459500 samb. 444.



Manage PermissionsManage Permissions
Attachments