06/08/2017 - Dk. Siti Nurul Nur Ashikin juara Kategori 'A'




Dayangku Siti Nurul Nur Ashikin binti Pengiran Junaidi muncul johan Peraduan Mencipta Cenderamata Kenangan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dalam Kategori 'A' bagi rakyat dan penduduk tetap di negara ini, dengan markah 90.4 peratus.

Sementara itu, naib johan Kategori 'A' disandang oleh Awangku Haji Mohd. Saiful Hakimin bin Pengiran Haji Duraman dan tempat ketiga diraih oleh Dayang Nur Amirah binti Haji Abas.

Manakala bagi Kategori 'B', iaitu Institut Pengajian Tinggi, tidak ada johan, namun naib johan dimenangi oleh Politeknik Brunei 2 dan tempat ketiga, Politeknik Brunei 1.

Bagi Kategori 'C', iaitu Sekolah-sekolah Menengah, Maktab-maktab, Pra-Universiti dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei pula, johan disandang oleh Sekolah Menengah Chung Hua dengan markah 83.2 peratus.

Naib johan bagi Kategori 'C' dimenangi oleh Sekolah Menengah Rimba II, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Maktab Anthony Abell.

Johan bagi Kategori 'A' dan Kategori 'C' masing-masing membawa pulang wang tunai BND600 dan BND500 serta piala iringan, berserta sijil penyertaan.

Hadir menyampaikan hadiah ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Haji Idris bin Haji Md. Ali, merangkap Pengerusi Urusetia Cenderamata Kenangan, pada Majlis Penyampaian Hadiah yang diadakan di Bilik Sepakat 4, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Terdahulu, Pengarah Penjara, Awang Haji Ismail bin Haji Murat, selaku Pengerusi Bersama Majlis dalam ucapannya berkata, peraduan diadakan antara lain sebagai ristaan dan rakaman sejarah bangsa terhadap kepimpinan raja sepanjang 50 tahun memerintah negara.

"Ia juga memberikan ruang dan peluang kepada pencipta untuk menghasilkan karya berdasarkan identiti kebruneian dan catatan sejarah kegemilangan 50 tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menurut daya kreativiti masing-masing," ujar beliau.

Peraduan mencipta cenderamata berkenaan bermula pada 27 Mei hingga 13 Julai yang lalu dan penghakiman berlangsung pada 25 Julai 2017.




Manage PermissionsManage Permissions
Attachments