Majlis Pelancaran memulakan bacaan bagi Majlis Khatam Al-Quran 50 Kali Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta telah diadakan di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Maon yang juga selaku Penghulu Mukim Berakas 'B'.
Turut hadir, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong dan juga selaku Penaung Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Bersama, Awang Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin diikuti dengan taklimat dan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penghulu Mukim Berakas 'B', Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Maon dan bacaan beramai-ramai dimulai dari Juz 2 yang telah diketuai oleh Imam masjid berkenaan, Haji Sadullah bin Haji Salleh.
Seramai 108 orang peserta lelaki dan 51 orang peserta perempuan Kampung Sungai Akar dan sekitarnya telah menyertai Majlis Pelancaran memulakan bacaan bagi Majlis Khatam Al-Quran 50 Kali Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Majlis penutupannya akan diadakan pada bulan September dan pemantauan atau tasmik oleh guru-guru Al-Quran akan diadakan sebulan dua kali, iaitu pada 9 Jun dan 23 Jun selepas Sembahyang Fardu Asar seterusnya bersungkai di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.
Di akhir acara, penyampaian cenderamata daripada Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong kepada tetamu kehormat, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Maon diikuti dengan majlis bergambar ramai.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto