08/08/2017 - Tujuh lagu ke Peringkat Akhir Simfoni Jubli Emas




Radio Televisyen Brunei (RTB) menganjurkan Peraduan Mencipta dan Menerbitkan Lagu-lagu Khas Simfoni Jubli Emas sempena 50 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta.

Menurut Siaran Akhbar Radio Televisyen Brunei, peraduan tersebut bertujuan untuk menjulang tinggi kepimpinan dan kewibawaan raja melalui seni ciptaan lagu serta untuk menyemarakkan juga memeriahkan lagi suasana sambutan ke arah menyuntik semangat kasihkan raja dan cintakan Negara.

Peraduan itu juga dihasrat untuk menggalakkan lagi pertumbuhan dan perkembangan seni tanah air, di samping memperkaya khazanah koleksi lagu-lagu tempatan.

Tujuh buah lagu akan dipertandingkan pada peringkat akhir nanti, iaitu Menara Harapan karya bersama Noraffin Haji Abd. Hamid, Dr. Khadizah Haji Abd. Momin dan Abdul Hafis Abdul Salam; Raja Berdaulat karya Pengiran Haji Mohd. Khairul Amilin Pengiran Haji Yahya; Raja Peneraju Negara karya Pengiran Samsul Rezal Malek Faesal Pengiran Haji Merali; Teraju Mahkota karya Zakiuddin Lani; Raja Bertakhta karya Pengiran Haji Sallehuddin Pengiran Haji Md. Noor; Daulat Raja Sanjungan Rakyat karya Haji Mohammad Abu Yazid Haji Awang Damit; Demi Raja Taat Setia karya Pengiran Haji Md.Shahremi Pengiran Haji Md. Salleh.

Peraduan yang dikendalikan oleh RTB itu mendapat sambutan yang menggalakkan dan berupaya menggabungkan penyertaan dalam kalangan para penerbit, pencipta, penulis lirik, pemuzik dan penyanyi tempatan.

Pertandingan akhir akan diadakan pada pertengahan bulan September nanti.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments