29/07/2017 - Kesinambungan ‘momentum’ pelaksanaan persediaan perlu terus mantap




Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersabda menekankan akan pentingnya untuk memastikan kesinambungan ‘momentum’ pelaksanaan persediaan-persediaan yang diperlukan serta terus memantapkan dedikasi serta komitmen khususnya daripada setiap Jawatankuasa Sektoral Sambutan Jubli Emas.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota bersabda demikian pada Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang berlangsung di Bangunan JPM, hari ini.

DYTM seterusnya bersabda menyarankan agar persediaan-persediaan berkenaan untuk siap diselenggarakan pada penghujung bulan Ogos nanti dan seterusnya mengongsikan titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap perkara-perkara berkaitan dari permesyuaratan kali ketiga Jawatankuasa Tertinggi, di antaranya mengenai dengan tempoh Istiadat Gendang Jaga-Jaga Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM  Menaiki Takhta.

Seterusnya supaya pihak jawatankuasa mencadangkan program atau aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai serta mendatangkan manfaat dan relevan kepada rakyat serta memberi makna yang signifikan kepada Sambutan Jubli Emas, contoh Penganugerahan Biasiswa Khas sempena Jubli Emas serta cadangan tarikh-tarikh perasmian dan juga penamaan beberapa prasarana-prasarana.

Acara-acara utama bagi Sambutan Jubli Emas itu nanti, tambah DYTM, perlulah mempunyai tarikan-tarikan yang akan membangkitkan semangat orang ramai untuk terlibat sama dan menghadirkan diri bagi menyemarakkan lagi acara-acara Sambutan khususnya dalam acara-acara utama.

Di sini, sabda DYTM lagi, pembarigaan bagi Sambutan Jubli Emas perlulah dibuat secara meluas dalam waktu yang terdekat iaitu sebaiknya selepas Sambutan Hari Keputeraan Kebawah DYMM  Ke-71 Tahun, selaras dengan hasrat untuk membarigakan kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini termasuklah dunia luar akan berlangsungnya satu lagi acara yang penuh bermakna serta signifikan dalam sejarah kesultanan Negara Brunei Darussalam.

Pembarigaan yang bersesuaian, jelas DYTM sama ada dalam bentuk tradisional mahupun media baharu, diharap akan dapat memupuk patriotisme dan membangkitkan semangat keraian Sambutan Jubli Emas tersebut.

Dalam pada itu, rakyat dan penduduk diseru untuk menjaga dan mempamerkan imej yang baik sepanjang Sambutan Jubli Emas itu nanti kerana negara akan menjangkakan kehadiran Tetamu-tetamu Khas serta pelawat-pelawat dari luar negara. Imej yang baik amat penting bagi memberikan kenangan yang manis dan membawa pulang satu ristaan yang baik buat negara.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas, dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, selaku Ahli Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas.

Turut menjunjung keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ialah Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah DYMM, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd. Taha.

Mesyuarat didahului dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal, selaku Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas.

Mesyuarat diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi kali ini juga telah membincangkan persiapan sambutan di daerah-daerah.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments