20/04/2017 - Berangkat ke Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Menaiki Takhta




Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan berangkat ke Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta berlangsung di Bangunan JPM, Jalan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas, dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien selaku Ahli Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas.

Turut menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ialah Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim ; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohammad Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Taha.

Mesyuarat didahului dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Mesyuarat diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya berkenan mengurniakan sabda.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi kali ini, Pengerusi-Pengerusi Bersama bagi Jawatankuasa-Jawatankuasa Sektoral Sambutan Jubli Emas telah menyembahkan taklimat laporan perkembangan terkini mengenai persediaan program-program dan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

Antara perkara utama yang dilaporkan ialah acara kemuncak sambutan, iaitu Upacara Perarakan Diraja sebagaimana juga yang telah dikendalikan semasa Sambutan Jubli Perak pada tahun 1992.

Perbincangan pada mesyuarat tersebut menunjukkan perkembangan yang positif dalam persediaan keperluan-keperluan sambutan dan mencerminkan komitmen yang berterusan daripada Jawatankuasa-Jawatankuasa Sektoral ke arah memastikan Sambutan Jubli Emas dilaksanakan dengan sempurnanya nanti.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments