26/01/2017 - Berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas




Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas, di Bangunan JPM, Jalan Perdana Menteri dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien selaku Ahli Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas.

Turut menjunjung keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ialah Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd. Taha.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya dijunjung untuk menyertai sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas.

Mesyuarat dimulakan dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Kemudian diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar. 

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya berkenan mengurniakan sabda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  menaiki takhta menjadi Sultan Brunei yang ke-29, pada 5 Oktober 1967 semasa baginda berusia 21 tahun.

Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta telah diadakan pada 5 Oktober 1992.

Manage PermissionsManage Permissions
Attachments