22/10/2017 - Berangkat ke Perarakan Kenderaan Berhias, Perasmian Eko Koridor dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran




Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Perarakan Kenderaan Berhias, Perasmian Eko Koridor dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
 
Berangkat sama paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.
 
Juga berangkat paduka-paduka adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berserta kerabat diraja yang lain.
 
Keberangkatan tiba Kebawah DYMM berserta kerabat diraja di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara tersebut dijunjung oleh Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta, iaitu Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah dan Mukim dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim selaku Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta.
 
Turut menjunjung keberangkatan baginda serta kerabat diraja ialah Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah dan Mukim, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Perasmian dan Peringatan Kenang-Kenangan iaitu Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dan Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.
 
Terdahulu, kira-kira 2,000 pelajar daripada Kementerian Pendidikan mengibarkan bendera negara bagi mengalu-alukan keberangkatan baginda yang bermula dari Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja hingga ke Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien berserta dengan paluan hadrah.
 
Sejurus keberangkatan tiba, lagu kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dikumandangkan oleh Kumpulan Koir Astaka Darussalam.
 
Majlis diteruskan dengan perarakan kenderaan-kenderaan berhias yang dipersembahkan oleh Kementerian-kementerian, Institusi-institusi Pengajian Tinggi, Syarikat-syarikat Swasta, Persatuan-persatuan dan orang-orang perseorangan yang bersemangat untuk mempamerkan rekaan kreativiti kenderaan-kenderaan berhias masing-masing dengan penuh warna dan reka bentuk.
 
Semasa berlangsungnya perarakan kenderaan-kenderaan berhias berbaris lalu itu, persembahan padang yang telah direka khas daripada belia-belia, penuntut-penuntut dan murid-murid sekolah-sekolah kerajaan dan swasta serta pertubuhan awam dari keempat-empat daerah juga turut dipersembahkan.
 
Setelah itu, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan untuk berjunjung ziarah bersama peserta-peserta persembahan padang sebelum baginda serta kerabat diraja yang lain dijunjung berangkat ke Eko Koridor Sungai Kedayan bagi acara Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran dan seterusnya Perasmian Eko Koridor.
 
Keberangkatan tiba baginda berserta kerabat diraja di Eko Koridor tersebut dijunjung oleh Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah dan Mukim, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali; Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Perasmian dan Peringatan Kenang-Kenangan, iaitu Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain.
 
Acara diteruskan dengan majlis junjung kasih dan kesyukuran, yang mana dimulakan dengan junjung ziarah bersama rakyat dan penduduk dari Daerah Belait, Daerah Tutong, Daerah Temburong juga Daerah Brunei dan Muara (DBM). Dalam pada masa yang sama, pelbagai aktiviti di air juga berlangsung, antaranya lumba perahu, kayak dan sebagainya.
 
Sejurus tiba ke tempat Perasmian Eko Koridor, Kebawah DYMM dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin dan baginda seterusnya berkenan merasmikan Eko Koridor dengan menjadikan Eko Koridor sebagai Taman Mahkota Jubli Emas.
 
Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan menandatangani Plak Perasmian dan disertai dengan laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' dari kira-kira 500 penuntut dan kemudian menerima pesambah daripada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Jawatankuasa Sambutan Jubli Emas dan juga selaku Pengerusi Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara.
 
Sebaik sahaja Taman Mahkota Jubli Emas dirasmikan, baginda menaiki kenderaan khas untuk menyelusuri khemah-khemah DBM serta penuntut-penuntut dan seterusnya menuju ke kawasan berdekatan Balai Bomba Bandar Seri Begawan untuk menaiki kenderaan baginda menuju ke Tarindak D'Seni, Bandar Seri Begawan bagi Majlis Santap.
 
Keberangkatan baginda dijunjung oleh Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah dan Mukim, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali; Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Perasmian dan Peringatan Kenang-Kenangan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain.
 
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
 
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.
 
Dalam memastikan keselesaan kepada para rakyat dan penduduk yang hadir dalam sama-sama memeriahkan juga menyemarakkan lagi majlis junjung kasih dan pelancaran taman tersebut, beberapa kemudahan telah disediakan oleh pihak-pihak berkenaan, antaranya kira-kira 781 tong sampah, kipas-kipas angin, khemah-khemah serta sajian.


Manage PermissionsManage Permissions
Attachments