19/10/2017 - Doa Kesyukuran Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta




Kementerian Pendidikan mengadakan Majlis Membaca Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, bertempat di Masjid Universiti Brunei Darussalam, di sini.
 
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.
 
Juga hadir, Timbalan  Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Solat Sunat Hajat yang diimamkan dan diketuai oleh Imam Masjid UBD, Awang Haji Jufri bin Haji Hidup dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Al-Waqiah, Surah Al-Mulk dan seterusnya Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta.
 
Majlis yang dihadiri oleh warga Kementerian Pendidikan dan pelajar-pelajar sekolah diungkayahkan bertujuan bagi memanjatkan doa kesyukuran serta  memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia, sihat walafiat dan sentiasa mendapat petunjuk dari Allah Subhanahu Wata'ala.
 
Di samping itu, ia juga bagi merafakkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas limpah rahmat dan kurnia-Nya menjadikan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
 
Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal; Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras),  Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah; Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Dayang Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee, pengarah-pengarah, penolong-penolong pengarah dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments