19/10/2017 - Raptai Perarakan Kenderaan Berhias rancak dilaksanakan




Perarakan Kenderaan Berhias, Perasmian Eko Koridor dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta akan diadakan pada 22 Oktober ini nanti pada jam 7.15 pagi di Bandar Seri Begawan.
 
Sehubungan itu, persiapan-persiapan bagi menjunjung Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Majlis Perarakan Kenderaan-Kenderaan Berhias, Perasmian Eko Koridor dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Menaiki Takhta sedang rancak dilaksanakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dan di Kawasan Eko Koridor di ibu negara, di sini.
 
Hadir pada raptai penuh tersebut ialah Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta, iaitu Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah dan Mukim; dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah DYMM, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd. Taha.
 
Juga hadir ialah Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah dan Mukim, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Perasmian dan Peringatan Kenang-Kenangan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi; Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.
 
Turut sama hadir ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.
 
Antara perisian raptai tersebut ialah keseluruhan atur cara yang telah disusun bagi acara tersebut. Majlis dimulakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dengan perarakan kenderaan-kenderaan berhias juga persembahan padang.
 
Seterusnya raptai beredar ke Eko Koridor dan diteruskan lagi dengan menyaksikan raptai penuh perasmian Eko Koridor di Sungai Kedayan. Setelah saja selesai perasmian, latihan diteruskan dengan meninjau khemah-khemah yang akan menempatkan orang ramai yang akan datang dari keempat-empat daerah.
 
Sehubungan itu, orang ramai dan setiap lapisan masyarakat diseru untuk sama-sama hadir pada 22 Oktober ini untuk tidak melepaskan peluang keemasan bagi mencipta sejarah yang gemilang bagi negara.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments