18/10/2017 - Meriahkan Perarakan Kenderaan-Kenderaan Berhias, Perasmian Eko Koridor dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran 22 Oktober ini




Perarakan Kenderaan-Kenderaan Berhias, Perasmian Eko Koridor dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta  akan diadakan pada Ahad ini, 22 Oktober, di ibu negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat ke acara berkenaan yang merupakan salah satu antara siri rancangan majlis atau acara-acara yang akan berlangsung bagi memeriahkan lagi suasana berlangsungnya Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.
 
Kenderaan-kenderaan dan basikal-basikal berhias yang disertai oleh kementerian-kementerian, syarikat-syarikat swasta dan orang-orang persendirian dijangka akan berarak di hadapan pentas diraja di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
 
Bagi menyerikan acara, persembahan khas gabungan penuntut-penuntut sekolah dan pertubuhan-pertubuhan awam turut diadakan sebaik saja selesai perarakan.
 
Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof pada Sidang Media acara berkenaan yang dipengerusikan oleh Awang Abdul Mutalib di Dewan Teater, Pejabat Daerah Brunei dan Muara, di sini.
 
Hadir pada Sidang Media tersebut ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Mohsin dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, selaku Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perarakan Kenderaan-Kenderaan Berhias, Perasmian Eko Koridor dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di bawah Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah Mukim dan Jawatankuasa Sektoral Perasmian dan Peringatan Kenang-Kenangan Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta.
 
Turut hadir, Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia dan SHENA), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Haji Kamaludin bin Haji Bungsu dan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin bagi mewakili Jawatankuasa Sektoral Perubatan, Kecemasan dan Keselamatan; dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN dan Kementerian Pembangunan.
 
Awang Abdul Mutalib mengongsikan bahawa jalan-jalan di Bandar Seri Begawan akan dibuka seperti biasa di mana orang ramai boleh meletakkan kereta di tempat-tempat meletak kereta di kawasan ibu negara dengan mengambil kira ciri-ciri keselamatan orang ramai di sekeliling.
 
Beliau menjelaskan, orang ramai juga dialu-alukan untuk meletakkan kereta di bahu-bahu jalan asalkan tidak menjejaskan laluan umum atau laluan kecemasan yang diperlukan serta memohon agar memberikan kerjasama yang padu kepada pegawai-pegawai yang menjalankan tugas.
 
Di samping itu, jelasnya lagi, kemudahan-kemudahan juga akan disediakan untuk orang awam termasuk kemudahan tandas-tandas (portable toilets) serta surau dan bilik sembahyang boleh digunakan di tempat-tempat berdekatan seperti Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Musollah di Dermaga Diraja dan bilik-bilik sembahyang di Bangunan Tarindak D'Seni.   
 
Beliau berkata, tong-tong sampah akan disediakan di kawasan-kawasan strategik di kawasan acara itu nanti bagi memudahkan orang ramai untuk menggunakannya dengan sebaiknya.
 
Orang ramai juga diingatkan untuk membawa balik sampah-sampah jika tong-tong sampah tidak dijumpai dan tidak meninggalkannya di merata-rata tempat.
 
Awang Haji Marzuke seterusnya menyampaikan pengenalan mengenai Perasmian Eko Koridor yang mana ia adalah di antara Projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 yang diterajui oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di JPM dan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi RKN.
 
Bagi perisian Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam, Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, Awang Mohammad Sunadi bin Haji Buntar, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa tersebut menerangkan bahawa Kebawah DYMM akan berangkat untuk berjunjung ziarah bersama rakyat dan penduduk dari keempat-empat daerah.
 
Menurut beliau, khemah-khemah khas telah pun diatur dan diletakkan di sepanjang 'promenade' Eko Koridor bagi menempatkan orang ramai yang ingin ikut serta berziarah ke hadapan majlis Kebawah DYMM pada hari tersebut.
 
Manakala maklumat mengenai keselamatan orang ramai disentuh oleh  Awang Haji Kamaludin yang mana beliau mengingatkan orang ramai supaya memastikan keselamatan diri, harta benda dan persekitaran dalam keadaan yang baik.
 
Beliau menyarankan para pengunjung hendaklah merancang perjalanan mereka secara bijak terutama sekali mereka yang datang dari jauh, di samping mengingatkan mereka untuk tidak memasuki tempat-tempat yang terkawal atau terhad. Sesi Sidang Media diakhiri dengan sesi soal jawab.
 
Orang ramai adalah dialu-alukan hadir untuk menyaksikan Perarakan Kenderaan-Kenderaan Berhias, Perasmian Eko Koridor dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran bagi mencipta sejarah yang gemilang bagi Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama merayakan Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Menaiki Takhta.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments