11/10/2017 - Berkenan berangkat ke Majlis Khatam Jubli Emas




Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Majlis yang penuh keberkatan itu berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Turut menjunjung, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman; Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohammad Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd. Taha selaku Penasihat-penasihat Bersama Jawatankuasa Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta serta Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam dan kerabat diraja yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

Dewan Persantapan Diraja bergema dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada 1,500 peserta khatam bermula dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah Al-Masad yang diketuai oleh Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki, Naib Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-59.

Para peserta khatam terdiri daripada 750 lelaki dan 750 perempuan yang terdiri daripada gabungan para pegawai kerajaan termasuk pasukan beruniform, persatuan-persatuan bukan kerajaan, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi tempatan serta graduan biasiswa kerajaan di luar negara, Brunei Assets Company (GLC), perwakilan-perwakilan masyarakat dan orang kurang upaya serta rakyat dan penduduk negara ini.

Bacaan Takhtim dibawakan oleh pegawai-pegawai perempuan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan.

Sementara Doa Khatam dibacakan oleh Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki.

Manakala bacaan Dikir dan Marhaban dibawakan oleh pegawai-pegawai lelaki dari Jabatan Pengajian Islam, KHEU dan Kementerian Pendidikan.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan.

Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian berkenan menerima junjung ziarah daripada peserta-peserta khatam Al-Quran lelaki, sementara Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima junjung ziarah daripada para peserta khatam Al-Quran perempuan.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah juga berkenan menerima junjung ziarah daripada peserta-peserta Khatam Al-Quran.

Majlis membaca ayat-ayat suci Al-Quran hingga khatam 30 juzuk bagi setiap peserta telah bermula dengan majlis pelancarannya pada 25 September lalu di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

Ia merupakan pesambah rakyat kepada raja yang sangat dikasihi serta memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah DYMM dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah serta petunjuk-Nya.

Acara keagamaan anjuran Jawatankuasa Sektoral Rancangan-Rancangan Keugamaan dan Majlis Kesyukuran ini adalah bagi memohon keberkatan agar Negara Brunei Darussalam sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah dan menyahut seruan titah Kebawah DYMM untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Zikir yang sentiasa mengagungkan Allah serta ke arah Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.



Manage PermissionsManage Permissions
Attachments