09/10/2017 - Doa Kesyukuran atas kepimpinan Kebawah DYMM di atas takhta




Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya  mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Bangunan JPM, Berakas.

Majlis kelolaaan bersama Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Percetakan Kerajaan, Jabatan Radio Televisyen Brunei dan Jabatan Penerangan itu turut dihadiri oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar; dan Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud.

Juga hadir, Ketua Hakim Syar’ie, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Juruaudit Agung, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Setiausaha-Setiausaha Tetap; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; ketua-ketua jabatan serta para pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid As-Shaliheen, Awang Anuar bin Haji Salim yang kemudiannya mengetuai bacaan Surah Al-Waqi’ah, Surah Al-Mulk dan Tahlil serta bacaan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.

Majlis antara lain bertujuan untuk melahirkan tanda kesyukuran atas kepimpinan baginda dan seterusnya memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah DYMM dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan panduan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments