09/10/2017 - Larian Jubli Emas, 12 November ini




Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan menganjurkan Larian Jubli Emas Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada hari Ahad, 12 November 2017 bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

Sebanyak dua kategori pertandingan disediakan iaitu Kategori Lelaki Terbuka dan Kategori Wanita Terbuka dengan jarak 10 kilometer. Manakala Kategori Fun Run Terbuka pula sejauh 4 kilometer.

Hadiah-hadiah yang disediakan bagi dua kategori pertandingan Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka tersebut ialah pemenang pertama, kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai BND1,000, BND800 dan BND600 berserta pingat. Manakala pemenang tempat keempat hingga kelapan pula masing-masing menerima wang tunai BND500, BND450, BND400, BND350 dan BND300.

Acara larian ini dibukakan penyertaannya kepada semua rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam serta warganegara asing yang memegang kad pintar berwarna unggu dan hijau yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Yuran penyertaan adalah BND18.00 setiap seorang dan setiap peserta hanya dibenarkan untuk menyertai satu kategori sahaja. Manakala peserta bawah umur 17 tahun ke bawah hendaklah mendapat kebenaran daripada ibu bapa dan penjaga.

Pendaftaran larian akan mula dibukakan di keempat-empat daerah pada 10 hingga 28 Oktober 2017 (hari bekerja) bermula pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.00 petang hingga 4.00 petang. Borang penyertaan boleh didapati di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan cawangan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) di daerah-daerah.

Borang yang lengkap diisi berserta yuran pendaftaran hendaklah dikembalikan tidak lewat 28 Oktober 2017 sebelum pukul 4.00 petang di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan cawangan JBS di daerah-daerah pada hari dan waktu bekerja sahaja.

Sementara pengambilan baju-T dan nombor bib (kategori pertandingan) bagi larian tersebut akan diadakan pada 9 dan 11 November 2017 bermula pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang bertempat di Bilik Pentadbiran, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bagi Daerah Brunei dan Muara. Manakala bagi Daerah Belait, Tutong dan Temburong pula, pengambilan baju-T dan nombor bib akan diadakan pada 9 November 2017 bermula pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang bertempat di cawangan JBS di daerah-daerah.

Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut mengenai Larian Jubli Emas, bolehlah menghubungi Urusetia Larian Jubli Emas, Bahagian Sukan, Jabatan Belia dan Sukan di talian +673 2381903 / 4 / 5 sambungan 1616 / 1633.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Radio Television Brunei
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments