08/10/2017 - Berangkat saksikan pembukaan Kejohanan Polo Jubli Emas




Kejohanan Polo sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta membuka tirainya kelmarin pada kejohanan yang diadakan di Royal Brunei Polo and Riding Club, di sini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan kejohanan tersebut.

Berangkat sama menyaksikan kejohanan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

Pada perlawanan pertama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah satu pasukan bersama Tawil serta Lucas berjaya mendapat skor 6 - 6 menentang Filipina, yang diwakili oleh Santi Joban, Tommy, Farido dan Facu.

Sementara, pada perlawanan yang lain pula, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar bersama dengan Pablo serta Mary berjaya mengekalkan skor dengan Kelab Polo Diraja Selangor terdiri daripada Tengku Dato Syed Budriz, Toh Muda Rizal, Saladin Mazlan dan Amran Selamat.

Kejohanan Polo sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta itu merupakan anjuran Persatuan Polo Diraja Brunei (RBPA) dan akan berlangsung sehingga Khamis, 12 Oktober nanti.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments