08/10/2017 - Sukan berbasikal diisytiharkan sebagai hobi negara




Sukan berbasikal kini diisytiharkan sebagai hobi negara selepas acara Riadah Berbasikal Kayuhan Jubli Emas yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbasikal sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Keberangkatan baginda berserta kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah; Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Ribuan penggemar dan peminat sukan berbasikal dari segenap lapisan masyarakat tidak melepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi acara riadah tersebut dalam suasana ceria dan meriah.

Terdahulu, acara riadah berkenaan dimulakan dengan Kebawah DYMM berkenan menandatangani papan tanda pengisytiharan sukan berbasikal sebagai hobi negara dan seterusnya pelepasan 50 biji belon daripada 50 belia, yang  melambangkan sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Menaiki Takhta.

Sejurus pelepasan belon-belon tersebut, Kebawah DYMM seterusnya mendahului Riadah Berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh hampir 11.5 kilometer dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Haji Basir, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha  dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada 50 pekayuh basikal daripada keempat-empat daerah yang berjaya mengelilingi 50km yang berlepas sejak pukul 6.30 pagi lagi.

Baginda seterusnya berkenan menyaksikan secara lebih dekat lagi kemeriahan Bandarku Ceria yang menyediakan berbagai jenis aktiviti daripada agensi-agensi yang terlibat. Kayuhan Jubli Emas kali ini turut menampilkan Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang telah menyertai dan menempah kejayaan di Sukan Para ASEAN Ke-9, Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini.

Riadah Berbasikal kali ini dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersama-sama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Perhubungan dan Kementerian Kesihatan serta penglibatan semua kementerian-kementerian yang lain dan juga Persekutuan Basikal Brunei Darussalam yang memperlihatkan sukan diberi pengiktirafan, penghormatan dan penggalakkan yang sama penting dengan sektor sosial yang lain bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan dan kestabilan yang berterusan.

Kejayaannya mencerminkan bagaimana pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan segenap lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan atau NGOs adalah sangat efektif dan berkesan, apatah lagi jika diguna pakai dalam memajujayakan program-program pembangunan negara.

Bagi orang ramai yang menyertai Kayuhan Jubli Emas ini bolehlah memuat turun sijil penyertaan mereka melalui laman sesawang ‘KKBS di www.kkbs.gov.bn’.



Manage PermissionsManage Permissions
Attachments