07/10/2017 - Doa Kesyukuran Jubli Emas senegara, mohon keberkatan, perlindungan




Majlis Doa Kesyukuran bersempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta diadakan hari ini di beberapa tumpuan utama Institusi-institusi Pendidikan Kerajaan dan Swasta seluruh negara di keempat-empat daerah.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Surau Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.

Hadir selaku tetamu kehormat Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

Majlis diungkayahkan bagi memohon keberkatan agar Negara Brunei Darussalam sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala serta menyahut Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Selain itu, majlis bertujuan bagi memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia, sihat walafiat dan sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah Subhanahu Wata'ala, di samping bagi merafakkan kesyukuran rakyat serta penduduk negara ini ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas limpah rahmat juga kurnia-Nya menjadikan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera di bawah kepimpinan bijaksana baginda.

Antara atur cara yang disusun pada majlis tersebut ialah solat Sunat Hajat berjemaah, bacaan Selawat, Surah Al Mulk, Surah Al-Waqi'ah dan Doa Khusus untuk Jubli Emas 50 Tahun Allah Peliharakan Sultan.

Solat Hajat diimamkan dan Doa Jubli Emas dibacakan oleh Imam Masjid Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Kampung Masin, Awang Asbinin bin Haji Zainal.

Majlis turut diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Lukisan bagi pelajar-pelajar Sekolah Rendah, Menengah, Maktab dan Pusat Tingkatan Enam Kerajaan Senegara sempena Sambutan Jubli Emas baginda Menaiki Takhta yang diadakan di Ruang Legar, Blok Pentadbiran, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.

Pertandingan Lukisan bertemakan '50 Tahun Menaiki Takhta' dan beridentitikan kebruneian menurut daya kreativiti pelajar-pelajar adalah khusus bagi meraikan Sambutan Jubli Emas baginda Menaiki Takhta.

Antara objektif Pertandingan Lukisan itu diadakan bagi membarigakan sejarah kepimpinan Kebawah DYMM 50 Tahun Menaiki Takhta, selain memberi peluang menonjolkan bakat melukis dalam kalangan pelajar-pelajar serta bagi meningkatkan kreativiti dan nilai seni pelajar dalam menanam serta mengukuhkan semangat patriotik mereka.

Seramai lima pemenang dipilih dari setiap kategori, iaitu dari Kategori 'A', 'B', 'C', 'D' menerima hadiah masing-masing, berupa trofi, sijil penyertaan dan hamper yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Sementara itu, Kategori 'E' - bagi pelajar-pelajar Sekolah Rendah Tahun 1 hingga Tahun 3 dan Kategori 'F' - bagi pelajar-pelajar Pra Sekolah, di mana setiap sekolah yang ikut serta hanya mempertandingkan satu hasil lukisan terbaik masing-masing yang akan dijalankan kemudian.

Sejurus selepas menyempurnakan penyampaian hadiah, tetamu kehormat dan para jemputan khas dibawa untuk menyaksikan galeri lukisan daripada pemenang-pemenang pertandingan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; pengarah-pengarah; penolong-penolong pengarah; pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan; Guru-guru dan Ibu Bapa serta penjaga pelajar-pelajar yang menerima hadiah.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments