06/10/2017 - Riadah Berbasikal Kayuhan Jubli Emas, Ahad ini




Dalam kemeriahan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang masih hangat dirasakan, para penduduk dan rakyat jelata negara ini masih berpeluang untuk merayakan acara-acara keraian yang telah dijadualkan.

Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berserta kerabat diraja dijangka akan berangkat bercemar duli menyertai Riadah Berbasikal Kayuhan Jubli Emas Sejauh 11.5Km yang akan diadakan pada hari Ahad, 8 Oktober 2017 bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara bermula jam 7.30 pagi.

Rakyat jelata dan penduduk negara ini dijemput sama menyertai Acara Riadah Berbasikal penuh bersejarah yang satu-satunya diadakan bersempena dengan 50 Tahun Kebawah DYMM Menaiki Takhta bagi menunjukkan rasa kasih dan syukur kepada raja di atas kepimpinan selama pemerintahan baginda.

Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed dalam Sidang Media bagi membarigakan Riadah Berbasikal Kayuhan Jubli Emas, dengan ini mengajak orang ramai untuk sama-sama hadir bersama keluarga untuk memeriahkan dan memberikan sokongan kepada program kayuhan tersebut sebagaimana yang telah ditunjukkan semasa Perarakan Jubli Emas Kebawah DYMM yang baru lalu.

Wakil dari Persekutuan Basikal  Brunei Darussalam, Awang Omarali bin Haji Ibrahim pula menegaskan agar peserta kayuhan mementingkan aspek keselamatan dengan memakai topi keledar atau helmet semasa berbasikal.

Bagi liputan paramedik pula, Jururawat Kanan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha mewakili Kementerian Kesihatan, Semiun bin Awat menjelaskan, beberapa buah ambulans akan berada di lokasi-lokasi strategik di sepanjang laluan Riadah Berbasikal tersebut dengan penempatan klinik statik di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.

Riadah Berbasikal Kayuhan Jubli Emas anjuran bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Perhubungan dan Kementerian Kesihatan dengan sokongan daripada Persekutuan Basikal Brunei Darussalam, antara lain bertujuan untuk membentuk budaya sukan dan memantapkan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus ke arah kehidupan bergerak aktif dan sihat.

Ke arah itu, KKBS mengajak segenap lapisan rakyat dan penduduk negara ini dengan menghadirkan diri dan menyertai Riadah Berbasikal Kayuhan Jubli Emas beramai-ramai dan dinasihatkan untuk datang lebih awal daripada waktu pelepasan kayuhan pada pukul 7.00 pagi.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments