06/10/2017 - Pemerintahan beraja menyatupadukan rakyat dan pemerintahan




Jubli Emas pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang kita rayakan sekarang ini adalah sangat bersejarah dan pasti akan jadi ristaan baik zaman berzaman mengenai kegemilangan negara ini di zaman modennya semasa pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

Sejarahnya itu tidak setakat diristakan, bahkan menjadi contoh tauladan tentang corak dan mutu kepimpinan pemerintahan beraja Melayu Islam yang sangat berkesan dan berjaya dan baginda benar-benar serasi dengan negara dan rakyat.

Oleh kerana ia serasi, lalu disebatikan menjadi corak pemerintahan beraja Melayu Islam di zaman moden sebagai pemerintahan yang berkesan mendatangkan kebaikan bagi negara dan rakyat.

Lebih jelas lagi keserasian dan kesebatiannya itu apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan sendiri menyebutnya dengan titah dari singgahsana dalam Majlis Istiadat Mengadap Sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Menaiki Takhta semalam, bahawa sejarah baginda memerintah adalah juga sejarah bangsa dan negara, kerana menurut baginda, baginda 'selaku raja tidak boleh putus hubungan dengan bangsa dan negara'. Seterusnya baginda menegaskan betapa baginda tetap berkongsi sejarah dengan rakyat dan kerana itu baginda menyifatkan perayaan Jubli Emas baginda menjadi milik bersama di antara baginda selaku raja dan rakyat jelata.

Demikian antara Khutbah Jumaat Khas sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman sebagai Khatib di atas mimbar di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong hari ini.

Yang Berhormat Pehin dalam Khutbah Khas Jumaatnya menyatakan, corak dan mutu kepimpinan beraja Brunei Melayu Islam turun temurun sehingga ke zaman moden ini dan di bawah kepimpinan baginda yang didukung dengan taat setia sekalian rakyat dan penduduknya, Brunei semakin terserlah sebagai negara berpemerintahan beraja Melayu Islam yang berkesan.

Sesuatu pemerintahan yang berkesan ialah pemerintahan yang dapat menyatupadukan rakyat dan pemerintahan yang berkesan ialah yang dapat mengekalkan keamanan dan keselamatan negara dan ia juga pemerintahan yang dapat memenuhi keperluan rakyat dan penduduknya untuk menikmati kehidupan yang wajar dan sejahtera.

''Dan istimewa bagi Brunei, pemerintahannya yang berkesan dan berjaya itu adalah dengan tidak melepaskan pegangan keugamaannya,'' jelasnya.

Sikap dan pendirian Brunei katanya, menjunjung tinggi ugama dan syi'arnya dengan berpemerintahan beraja yang menjunjung tinggi ugama dan syi'arnya itu adalah bertepatan dengan ajaran Allah dengan menghendaki umat Islam apabila diberikan kedudukan yang teguh di bumi – termasuklah dengan bernegara dan berpemerintahan – nescaya mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat serta mereka menyuruh berbuat yang ma'ruf dan melarang daripada mengerjakan yang munkar.

Tambahnya, kerajaan berpemerintahan beraja yang berdaulat telah menepati tujuan bernegara dalam makna umum al amru bil ma'ruf wan nahyu 'anil munkar itu dengan perancangan dan pelaksanaan yang juga menepati lima objektif utama syariah, yakni al-maqasid al-syar'iyah al-khamsah yang meliputi usaha bagi kepentingan memelihara kemurnian akidah (agama), kepentingan menjaga nyawa, kepentingan memelihara akal atau intelek, kepentingan memelihara harta, dan seterusnya kepentingan memelihara keturunan yakni zuriat yang merupakan generasi penerus.

''Semua lima kepentingan yang menjadi tujuan utama syari'ah atau maqasid syar'iyah itulah yang telah dan terus menerus menjadi perkara yang diliputi dalam Rancangan Pembangunan Negara. Ia terdapat dalam rancangan bagi mendukung perkhidmatan ugama, perkhidmatan keselamatan, pembangunan dalam bidang-bidang prasarana, pendidikan, perubatan dan kesihatan, perumahan, jalan raya dan lebuh raya, bekalan air bersih dan api letrik, rancangan perumahan negara, sekolah dan masjid dan sebagainya lagi, termasuklah program sosial kemasyarakatan. Dan yang terpenting juga ialah penyediaan dan penguatkuasaan undang-undang dan kehakiman – sivil dan syari'ah - yang melengkapkan pemerintahan negara yang berundang-undang,'' tegasnya.

Dalam Khutbah Jumaat Khas itu, Yang Berhormat Pehin juga menekankan mengenai Wawasan 2035 yang penting untuk kita ingati, iaitu dalam buku Perancangan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam (terbit pada 2007) bahawa ke arah mencapai wawasan itu, kita juga telah menetapkan bahawa kita bersatu dalam tiga perkara utama, iaitu Kesetiaan kepada sultan dan negara; Keyakinan terhadap nilai-nilai Islam; dan Keharmonian sosial dan amalan tradisi berbaik-baik.

Sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Pegawai Ugama di Jame' ' Asr Hassanil Bolkiah, Awangku Haji Haris bin Haji Suboh.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments