05/10/2017 - Istiadat Perarakan Mengelilingi BSB cipta detik bersejarah




Negara Brunei Darussalam mencipta satu lagi detik bersejarah yang akan menjadi ristaan generasi sekarang dan akan datang dengan berlangsungnya Istiadat Perarakan Mengelilingi Bandar Seri Begawan bersempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Memori bersejarah setentunya peluang keemasan yang harus dimanfaati lebih-lebih lagi perarakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam menaiki kenaikan khas, iaitu Usongan Diraja.

Turut bersemayam menaiki Usongan Diraja tersebut Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah.

Juga berangkat mengiringi ialah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor'ain; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Rakiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah serta kerabat diraja lain.

Berangkat sama menyertai Istiadat Perarakan tersebut, His Royal Highness Prince Edward, Earl of Wessex dan Her Royal Highness Sophie, Countess of Wessex.

Perarakan bermula dari pagar utama berhadapan Istana Nurul Iman dan seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Isteri berserta paduka-paduka anakanda baginda menaiki Usongan Diraja bermula di hadapan Balai Bomba Bandar Seri Begawan diiringi oleh anggaran 170 orang pemain pencaragam tediri daripada 110 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan 60 anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Sepanjang jalan perarakan sejauh kira-kira tiga kilometer itu menyaksikan seramai lebih 22 ribu peserta diwakili Institusi Pendidikan kerajaan dan swasta, manakala hampir 17 ribu peserta diwakili warga Perkhidmatan Awam termasuk Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, pergerakan belia, 500 peserta pasukan hadrah dan badan-badan berkanun serta syarikat milik kerajaan dan agensi-agensi lain.

Usongan tersebut merupakan satu Alat Kebesaran Diraja digunakan sebagai persemayaman sultan dan keluarga baginda dalam sesuatu keberangkatan beristiadat seumpama Istiadat Perpuspaan atau istiadat sebagainya.

Bagi memudahkan Usongan tersebut bergerak, seramai 50 peserta terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, iaitu 24 penolak di bahagian belakang, manakala 26 penarik lagi di bahagian hadapan.

Usongan Diraja diikuti oleh 40 orang berpakaian istiadat seperampun merah yang membawa 40 buah Sinipit yang disahankan di bahu kanan serta 40 buah Taming, di mana Sinipit dan Taming merupakan antara Alat Kebesaran Diraja.

Selain itu, Alat Kebesaran Diraja yang berupa seakan-akan lembing bermata dua. Di bahagian pangkal kedua-dua matanya yang bersatu itu berbentuk bulatan, manakala penyambungan hujung tatarannya yang bercantum dengan pangkal mata Changkah itu dihiasi dengan ukiran berbentuk sakah-sakah. Ia dibawa oleh Pateh dan disertai oleh Damong yang menaiki kenderaan khas.

Juga dibawa ialah Kelasak dan Kampilan, Alat Kebesaran Diraja yang menjadi penangkis khas yang dipegang dengan tangan kanan oleh Panglima Asgar yang berpakaian istiadat seperampun merah dan tangan kirinya memegang Kampilan, senjata berupa parang, tetapi lebas dan bentuk matanya lurus serta hujungnya luncit. Begitu juga Pemugas dan Karga berupa senapang besar disahan di bahu kanan oleh Panglima Raja berpakaian istiadat seperampun merah dan sebuah Karga diangkul di bahu kiri.

Usongan Diraja juga dibarisi oleh 32 pembawa Perhiasan Tunggal, iaitu 16 Pedang dan Perisai serta 16 Tombak Benderangan.

Sementara itu, di belakang Usongan Diraja ialah kumpulan pemain Gendang Arak-Arakan yang memainkan Nakara, Gendang Labek, Gong, Serunai dan Chanang.

Sambutan perarakan tersebut diraikan dengan penuh gilang-gemilang dan pada hari ini bukan sahaja para penduduk dan rakyat di negara ini, malah masyarakat dunia luar berkesempatan menyaksikan acara itu penuh beristiadat, di samping mempamerkan kehalusan Adat Istiadat Diraja Brunei kekal bertapak dan terjaga keasliannya agar menjadi pusaka bangsa serta cerucuk pembinaan bangsa dengan berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja.



Manage PermissionsManage Permissions
Attachments