04/10/2017 - Forum khas tingkatkan pengetahuan konsep MIB




Forum Khas Melayu Islam Beraja (MIB) anjuran Jawatankuasa Kerja Pembarigaan Melayu Islam Beraja di bawah Jawatankuasa Sektoral Media, Publisiti dan Percetakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dilaratkan lagi di Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, di sini.

Timbalan Menteri Kewangan (Pelaburan), Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah hadir selaku tetamu kehormat.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan.

Forum dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Lepasan Ijazah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Rasinah binti Haji Ahim.

Manakala ahli-ahli panel terdiri daripada Setiausaha Tetap (Urusan Korporat dan Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, yang mana skop perbincangan beliau menyentuh mengenai usaha kerajaan meningkatkan ketenteraman dan keamanan negara yang menjadi asas kesejahteraan negara serta rakyat juga amalan berbaik-baik dalam hubungan antarabangsa selaku ahli panel pertama.

Ahli panel kedua menampilkan Pemangku Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar yang mengisarkan tentang MIB dalam pendidikan dan amalan doa serta kesannya dalam keharmonian beragama, bermasyarakat juga bernegara.

Sementara ahli panel ketiga, Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor menyentuh mengenai peluang-peluang pendidikan yang disediakan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh rakyat negara ini.

Matlamat forum adalah untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap konsep MIB di negara ini.

Forum diharap akan menjadi satu wadah mengukuhkan taat setia pada kepimpinan pemerintahan beraja dan azam untuk mengekalkan keamanan, kesejahteraan serta kebahagiaan dalam negara MIB yang merdeka, berdaulat dan demokratik, bersendikan ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Waljama'ah dan dengan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan.

Ia dipercayai dapat menyuburkan rasa cinta pada negara dan kasih kepada raja.

Forum dilaratkan di keempat-empat daerah, yang mana di Daerah Belait, forum akan diadakan pada Isnin, 9 Oktober bertempat di Pusat Insani, Seria.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments