04/10/2017 - Dua buku diterbitkan sempena Jubli Emas




Penerbitan buku 'Raja Melakar Sejarah' dan 'The King Who Shapes History', hasil tulisan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned akan menambah lagi khazanah koleksi buku-buku berkaitan dengan riwayat dan pemerintahan cemerlang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepanjang 50 tahun meneraju Negara Brunei Darussalam.

Penerbitan buku tersebut juga adalah pada mengambil kira agar buku yang penuh dengan catatan sejarah 50 tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia selaku Kepala Negara dan Ketua Kerajaan, tersebar lebih luas merentasi sempadan serta benua.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menggariskan perkara itu dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Khas Mata Wang Polimer BND50 Kenang-kenangan, Duit Syiling Kenang-kenangan dan Duit Syiling bagi Edaran Siri Ke-5 dan Buku-buku Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) 'Raja Melakar Sejarah' dan 'The King Who Shapes History' sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Kedua-dua buku tersebut jelasnya diterbitkan dalam bentuk kulit keras (hardcover) dan kulit lembut (softcover) bagi memudahkan penggemar-penggemar buku membuat pilihan. Buku kulit keras dijual dengan harga BND30.00 dan kulit lembut berharga BND20.00.

Yang Berhormat percaya buku tersebut sudah setentunya menjadi bahan rujukan yang sangat berguna khususnya kepada generasi muda, penuntut-penuntut, orang ramai serta para pengkaji atau penyelidik dan para akademik di negara ini mahupun di luar negeri.

''Kita bersyukur buku yang 'menyaluki' pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan 50 tahun memberikan analisa peranan baginda menerajui perkembangan dan kemajuan negara ini ditulis oleh penulis Brunei sendiri yang meninjau dan menganalisa jejak langkah mengharungi perjalanan 50 tahun ini dari perspektif atau kaca mata orang Brunei,'' ujarnya.

Selaras dengan tajuknya 'Raja Melakar Sejarah', penulis menurutnya telah berusaha mengetengahkan dan menganalisa peranan serta kepimpinan seorang raja yang dalam tempoh 50 tahun pemerintahannya telah dapat meletakkan negara sebagai sebuah negara maju dengan sistem pemerintahan beraja menurut perlembagaan berasaskan pada ajaran agama Islam yang berpaksikan pada Melayu Islam Beraja dengan meraih kemajuan dalam berbagai bidang.

''Inilah satu aspek yang kadang-kadang kurang dapat difahami dan di'saluki' oleh penulis luar yang kurang memahami akan kedudukan sosio-politik negara ini,'' tambahnya.

Oleh yang demikian, penulisan buku tersebut dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dihasrat akan dapat menyumbang ke arah memprojekkan imej Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Ketua Negara dan Ketua Kerajaan.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments