04/10/2017 - Doa dipanjatkan, kesyukuran dizahirkan untuk Kebawah DYMM




50 tahun memerintah di atas takhta merupakan suatu tempoh yang matang dalam mentadbir negara sehingga berupaya menjadikan Negara Brunei Darussalam yang berdaya saing dari segi perkembangan dan pembangunan infrastruktur, prasarana, teknologi, sosio-ekonomi dan sebagainya.

Perkara itu jelas terbukti melalui apa yang negara capai dan kita selaku rakyat dan penduduk yang berpaksi di bumi Darussalam nikmati hari ini di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kepimpinan Kebawah DYMM sangat menitikberatkan dan peka dengan segala kehidupan rakyat lebih-lebih lagi dalam hal keagamaan dan ianya dapat dilihat dengan keberangkatan baginda berangkat menyertai ribuan jemaah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong bagi Majlis Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Al-Waqi'ah, Surah Al-Mulk, Tahlil dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Jubli Emas baginda menaiki takhta.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen serta DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah DYMM dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta serta Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sektoral Rancangan-Rancangan Keugamaan dan Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas iaitu Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sejurus azan Fardu Maghrib dilaungkan jam 6.11 petang, Sembahyang Fardu Maghrib didirikan diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Majlis kemudian disusuli dengan bacaan Surah Al-Waqi'ah, Surah Al-Mulk dan Tahlil dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Sementara Doa Kesyukuran pula dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Setelah itu, Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah didirikan yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Kemuncak Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta ialah Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan, Majlis Istiadat Mengadap dan Istiadat Perarakan Mengelilingi Bandar Seri Begawan yang akan berlangsung pada 5 Oktober, iaitu detik yang ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, malah masyarakat dari luar negara.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments