03/10/2017 - Pusat Media sediakan pelbagai prasarana untuk para wartawan




Acara-acara sepanjang Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta mendapat liputan meluas bukan sahaja dari media-media tempatan malah dari luar negara.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Kerja Media dan Publisiti Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta telah menubuhkan Pusat Media yang beroperasi di Dewan Riadah, Pusat Belia di ibu negara mulai hari ini sehingga 7 Oktober dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam.

Lebih 60 orang yang terdiri daripada media luar telah mendaftar di Pusat Media setakat ini untuk membuat liputan bagi acara kemuncak tersebut.

Acara sambutan kali ini juga melibatkan seramai 40 orang sukarelawan yang terdiri daripada para peserta Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah dan orang ramai yang telah mendaftar menerusi poster sepertimana yang telah dipromosikan melalui media sosial.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Pegawai Pentadbir Tingkat I, Jabatan Penerangan, Hajah Rabi'atul Adawiyah binti Haji A. Ahmad selaku Ketua Jawatankuasa Kerja Kecil Pusat Media dan Logistik bagi mewakili Jawatankuasa Kerja Media dan Publisiti semasa ditemui oleh Pelita Brunei.

Pelbagai prasarana disediakan termasuk ruang kerja media; kelengkapan kemudahan seperti kerusi, meja, komputer dan internet berkelajuan tinggi; Media Sekretariat; meja-meja perkhidmatan seperti Media Registration, Media Pool, Transport, In-Country Tours, IT Helpdesk; Perkhidmatan Logistik (kenderaan); Bilik Mesyuarat; Bilik Taklimat; Surau; ruang makan dan makanan (free flow); serta Pusat Media juga dijadikan 'assembly point' para media untuk ke tempat acara, jelas beliau lagi.

Beliau seterusnya menjelaskan, Jabatan Penerangan selaku Jawatankuasa Kerja Media dan Publisiti (Pusat Media, Media Cetak dan Baharu) antara lain turut menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan media dan memudahcara para media seperti pendaftaran dan akreditasi media, media advisory dan dokumentasi, menyediakan sebarang maklumat / informasi berkaitan acara, pengawalan Media, Media Kit, ruang kerja media yang kondusif dan selesa yang dijangka memuatkan lebih 100 orang media tempatan dan luar negara.

Wartawan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia, Ahmad Ashraf bin Abdul Rahman semasa ditemu bual menjelaskan, ini merupakan kali pertama beliau berkunjung ke Negara Brunei Darussalam dan beliau sangat berbesar hati kerana berpeluang untuk menyertai sendiri jubli emas pada kali ini.

Terdahulu beliau sempat memuji pihak yang bertanggungjawab kerana menjalankan tugas dengan baik dalam menyediakan prasarana terutama sekali melibatkan dari segi kelengkapan untuk menyiapkan bahan berita.

“Selain itu, mereka juga turut mengambil perhatian dari segi soal aspek logistik iaitu pengangkutan untuk mengambil dan menghantar dari tempat tinggal yang disediakan dan menghantar ke tempat lokasi dan itu merupakan kemudahan yang cukup baik kepada media-media terutama media-media dari luar negara.

Kalau diikutkan, Pusat Media yang disediakan pada kali ini sememangnya menepati standard seperti yang diamalkan Pusat Media di luar negara, dengan menyediakan komputer, terutama sekali akses internet untuk menyalurkan berita-berita yang baik,” tambahnya lagi.

Di antara agensi-agnesi yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan di Pusat Media tersebut ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Jabatan Penerangan, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Pusat Belia, DST dan Progresif Celullar Sendirian Berhad (PCSB).


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Borneo Bulletin
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments