04/10/2017 - Mata Wang Polimer BND 50 Kenang-Kenangan, Duit Syiling Kenang-Kenangan dan Duit Syiling Bagi Edaran Siri Ke-5 Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta




1. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas dan Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Khas Mata Wang Polimer BND 50 Kenang-Kenangan, Duit Syiling Kenang-Kenangan dan Duit Syiling Bagi Edaran Siri Ke-5, sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada hari Rabu, 13 Muharram 1439H bersamaan dengan 4 Oktober 2017M di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

2. Di acara sidang media yang berasingan, pihak AMBD yang diwakili oleh YM Pengiran Maslina binti Pengiran Hj Mahmud, Pemangku Pengarah Eksekutif Unit Pengurusan Matawang; Yang Mulia Hjh Nurhuaida Fakhriah binti Hj Damit, Ketua Bahagian Perhubungan Korporat; Yang Mulia Juffry bin Emran, Pegawai Kanan, Unit Pengurusan Matawang; dan Yang Mulia Noor Izzah binti Hj Abu Bakar, Pengurus, Unit Pengurusan Matawang Merekatelah memberikan sedikit penerangan mengenai dengan Mata Wang Polimer BND 50 Kenang-Kenangan, Duit Syiling Kenang-Kenangan dan Duit Syiling Bagi Edaran Siri Ke-5, yang dilancarkan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

REKA BENTUK MATA WANG POLIMER KENANG-KENANGAN BND 50

3. Mata wang polimer kenang-kenangan bernilai BND 50 yang baharu ini mempamerkan beberapa ciri-ciri signifikan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta. Mata wang baru ini berwarna kekuningan, melambangkan warna Diraja. Di muka hadapan mata wang ini mempamerkan potret terbaharu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berpakaian seragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei atau ceremonial uniform.

4. Mata wang ini juga mempamerkan imej Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dimahkotakan oleh Al-Marhum Ayahanda Baginda, Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, berlatarbelakangkan imej Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

5. Reka bentuk di bahagian belakang mata wang ini pula mempamerkan imej Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bersama rakyat yang melambangkan sikap pemedulian Baginda Sultan sebagai seorang Raja Berjiwa Rakyat. Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

6. Salah satu ciri-ciri keselamatan pada matawang adalah ciri spark live pada angka 50 yang terletak di atas sebelah kanan muka hadapan mata wang ini. Ini merupakan sebuah ciri silkscreen printed optical variable feature dengan rolling bar effect yang berubah warna daripada warna hijau ke warna keemasan. Pereka Mata Wang Polimer BND 50 Kenang-Kenangan ini ialah Yang Mulia Pengiran Khamarol Zaman bin Pengiran Haji Tajudin.

REKA BENTUK DUIT SYILING KENANG-KENANGAN

7. Selain daripada mata wang polimer kenang-kenangan, AMBD jua mengeluarkan edisi terhad duit syiling kenang-kenangan berbentuk emas dan perak yang mempamerkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dikelilingi 50 kaki Payung Diraja, melambangkan ‘Raja Payung Negara’. Ini menggambarkan keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai seorang pemimpin yang bersifat pengasih, serta melindungi dan menjaga keamanan negara dan juga menjaga setiap kebajikan dan kemaslahatan rakyat jelata. Reka bentuk belakang duit syiling kenang-kenangan ini pula memaparkan imej Mahkota yang digunakan dalam Istiadat Perpuspaan pada 1 Ogos 1968.

REKA BENTUK DUIT SYILING DALAM EDARAN SIRI KE-5

8. Sambutan Jubli Emas ini juga akan membawa lebih banyak makna, di mana bagi julung-julung kalinya, AMBD juga mengeluarkan Duit Syiling Bagi Edaran yang terbaharu ini . Reka bentuk hadapan Duit Syiling Bagi Edaran siri ke-5 ini mempamerkan potret baharu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Reka bentuk belakang pula, memaparkan alat-alat kebesaran Diraja yang signifikan semasa Istiadat Perpuspaan Baginda. Pereka bagi Duit Syiling bagi Edaran ini ialah Yang Mulia Pengiran Amir bin Pengiran Haji Sablon.

9. Di samping itu, AMBD juga akan mengeluarkan 500,000 keping duit syiling 50 sen yang mengandungi cetakan jawi “Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Menaiki Takhta”.

10. AMBD juga ada memperuntukkan sejumlah duit syiling 50 sen tersebut yang dipakejkan khas untuk diedarkan kepada semua penuntut-penuntut di pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pusat-pusat tingkatan enam di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam.

11. Bagi penjualan mata wang dan duit syiling kenang-kenangan edisi terhad bersempena dengan sambutan ini, pihak AMBD akan mengeluarkan produk-produk seperti berikut :

(i) Satu keping mata wang numismatik dengan Prefix Khas “HB50” (kotak akrilik)
Set ini akan dijual dengan harga B$200.

(ii) Set mata wang kenang-kenangan B$25 dan B$50 (folder)
Set ini akan dijual dengan harga B$160.

(iii) Mata wang kenang-kenangan B$50 (folder)
Set ini akan dijual dengan harga B$55.

(iv) 3-dalam-1 mata wang numismatik uncut B$50 (kotak akrilik)
Set ini akan dijual dengan harga B$400.

(v) 8-dalam-1 mata wang numismatic uncut B$50 (tiub)
Set ini akan dijual dengan harga B$1,000.

(vi) 40-dalam-1 numismatik uncut B$50 (tiub)
Set ini akan dijual dengan harga B$3,800.

(vii) Duit syiling kenang-kenangan berbentuk emas
Set ini akan dijual dengan harga B$3,500.

(viii) Duit syiling kenang-kenangan berbentuk perak
Set ini akan dijual dengan harga B$400.

(ix) Duit syiling koleksi khas siri ke-5
Set ini akan dijual dengan harga B$20.

12. Orang ramai yang ingin mendapatkan produk-produk edisi terhad ini, boleh membuat penempahan secara pra-pesanan (pre-order) bermula dari jam 12 tengahari pada hari Rabu, 4 Oktober 2017M hingga hari Rabu, 25 Oktober 2017M. Pra-pesanan (pre-order) bolehlah dibuat melalui laman web AMBD https://www.ambd.gov.bn/HB50. Bagi penempahan yang terlebih langgan, proses pengundian akan dilaksanakan dan orang ramai akan dapat mengambil tempahan mulai daripada hari Isnin, 6 November 2017.

13. Orang ramai juga boleh menukar mata wang dan duit syiling bagi edaran siri ke-5 ini pada nilai muka yang sama, di cawangan-cawangan Bank Baiduri, Bank of China, Hong Kong (BOCHK), BIBD, HSBC Brunei, Maybank, Bank RHB, Bank Standard Chartered, UOB, dan Perbadanan TAIB mulai hari Isnin, 9 Oktober 2017.

14. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman web AMBD di .

Autoriti Monetari Brunei Darussalam
Tarikh : 13 Muharram 1439 / 4 Oktober 2017
Ruj : AMBD/COMMS/1




Manage PermissionsManage Permissions
Attachments