03/10/2017 - Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Edisi Khas sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta




1. Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Perhubungan melalui Jawatankuasa Perasmian dan Kenang-Kenangan akan mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Edisi Khas sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Dengan pengeluaran ini akan memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki cenderamata kenang-kenangan yang julong-julong kalinya dikeluarkan oleh Jabatan ini.

2. 2 jenis produk akan dikeluarkan iaitu Setem Kenang-Kenangan dan Setem Edisi Khas.

SETEM KENANG-KENANGAN

3. Setem Kenang-Kenangan mengandungi 5 rekabentuk setem serangkai masing-masing berharga 50 sen sekeping dengan harga $2.50 bagi satu set.

4. Produk-Produk iringan yang akan dikeluarkan bersama ialah:

- Sampul Surat Rasmi Hari Pertama tanpa setem berharga $0.45 sekeping
- Sampul Surat Rasmi Hari Pertama bersetem berharga $3.15 sekeping
- Pek Kenangan mengandungi 1 set setem dan 1 keping Sampul Surat Rasmi Hari Pertama bersetem berharga $6.75 sekeping
- Booklet Setem mengandungi 1 set setem berharga $2.90 sekeping

5. Setem Kenang-Kenangan akan dijual kepada orang ramai pada Hari Khamis 5 Oktober 2017 dari jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang secara berterusan di cawangan-cawangan berikut :-

- Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan
- Pejabat Pos Pemerosesan Surat dan Bungkusan (MPC)
- Pejabat Pos Gadong
- Pejabat Pos Seri Kompleks
- Pejabat Pos Muara
- Pejabat Pos Sengkurong
- Pejabat Pos Tutong
- Pejabat Pos Seria
- Pejabat Pos Kuala Belait

SETEM EDISI KHAS

6. Selain dari Setem Kenang-Kenangan, Jabatan Perkhidmatan Pos juga akan mengeluarkan satu produk yang julong-julong kalinya dikeluarkan iaitu Setem Edisi Khas dalam jumlah yang terhad sebanyak 500 unit sahaja. Produk ini mengandungi :

- 1 keping setem emas tulin (99.99%) seberat 3gm yang mempunyai nombor siri 001-500;
- 1 keping Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Khas dilengkapi dengan 4 setem Kenang-Kenangan ;
- 1 kotak khas yang diperbuat dari kayu jenis ‘Nyatoh’;
- Sijil Ketulinan (Autencity Certificate); dan
- Rencana rengkas mengenai Sambutan Jubli Emas

7. Produk ini berharga $480.00 seunit dan boleh dibeli melalui 2 cara iaitu membeli terus di kaunter khas atau membuat tempahan awal.

8. Bagi orang ramai yang ingin membeli terus di kaunter, satu kaunter khas akan disediakan di ruang kaunter Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan mulai Hari Khamis 5 Oktober 2017. Pembelian cara ini bagaimana pun adalah tertakluk kepada stok bagi nombor siri yang dipilih. Kaunter ini akan dibuka pada hari-hari bekerja bagi satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

9. Manakala bagi orang ramai yang berhasrat untuk membeli secara tempahan awal, borang tempahan boleh diperolehi di semua Pejabat Pos di seluruh negara ataupun dengan memuat turun daripada laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Pos .

10. Borang-borang yang telah lengkap diisikan hendaklah dihantar kepada Unit Filatelik, Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan (sebelum 5 Oktober 2017) atau ruang kaunter Pusat Memperoses Surat & Bungkusan, Lapangan Terbang Lama, Berakas (mulai 5 Oktober 2017) pada waktu-waktu Pejabat dibuka bersama dengan wang pendahuluan sebanyak 50% iaitu $240.00 bagi satu tempahan. Tarikh dan tempat pengambilan tempahan akan dimaklumkan kepada yang berkenaan sebaik-baik sahaja pembekalan diterima.

11. Untuk sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi Unit Filatelik, Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan BS8611 melalui telepon No: +673 2222191 atau email : brustamp@post.gov.bn
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments