03/11/2017 - Persembahan Bunga Api Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta




Persembahan Bunga Api Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta akan diadakan pada hari Ahad, 5 November 2017 bertempat di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan bermula jam 7.45 malam. Persembahan bunga api ini adalah sumbangan dari Golongan Peniaga-Peniaga Negara Brunei Darussalam.

Dalam pada itu sebagai langkah keselamatan, pihak penganjur ingin memaklumkan kepada orang ramai untuk tidak menggunakan jambatan laluan pejalan kaki yang menghubung Taman Mahkota Jubli Emas ke kawasan Batu Satu sementara kerja-kerja pemasangan peralatan bunga api sedang giat dilaksanakan dikawasan tersebut. Begitu juga semasa persembahan bunga api di jalankan, orang ramai juga turut dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan pada jarak 250 meter. Peringatan ini juga adalah bagi penambang-penambang perahu agar tidak merentasi semasa persembahan tersebut dijalankan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dan seluruh lapisan masyarakat serta penduduk di negara ini adalah dialu-alukan untuk sama-sama hadir bagi menyaksikan acara tersebut. Seterusnya bagi memastikan kelancaran acara persembahan bunga api itu, orang ramai dinasihatkan untuk sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga khususnya para ibu bapa untuk sentiasa menjaga keselamatan, kewaspadaan dan keberadaan anak-anak abiskita. Begitu juga kepada para pemandu dan pengguna jalan raya diingatkan untuk memberikan kerjasama masing-masing dan sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya yang lain serta pihak jawatankuasa yang bertugas bagi kesejahteraan semua pihak.

Disamping itu, untuk menjaga kebersihan dan mengekalkan keindahan bandar yang kita sayangi, orang ramai adalah diseru untuk sama-sama menjaga kebersihan dan menggunakan tong-tong sampah yang disediakan dengan sebaiknya.




TAMAN MAHKOTA JUBLI EMAS, BANDAR SERI BEGAWAN






Disediakan oleh:
Jawatankuasa Persembahan Bunga Api Sumbangan Golongan Peniaga-Peniaga Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta
Manage PermissionsManage Permissions
Attachments